opensubscriber
   Find in this group all groups
 
Unknown more information…

p : perakan@yahoogroups.com 13 November 2006 • 8:58AM -0500

[perakan] Sekitar Sidang DUN Kelantan 12 Nov
by abu hafizd

REPLY TO AUTHOR
 
REPLY TO GROUP



      Menteri akui Kelantan pernah dianaktirikan        
        KOTA BHARU, 12 Nov  - Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Mustapa Mohamed mengakui Kelantan pernah 'dianaktirikan' bagi mendapat peruntukan pembangunan daripada kerajaan pusat sebelum ini.
  
  Beliau yang juga Adun Air Lanas ketika mendedahkan perkara itu pada persidangan Dun hari ini sebaliknya memberi jaminan masalah pengagihan baja subsidi padi tidak akan dibiar diselewengkan lagi.
  
  "Kerajaan Barisan Nasional di bawah Pak Lah sekarang tidak akan membiarkan perkara itu berlaku. Saya memberi jaminan tidak akan berlaku lagi penyelewengan bagi pengagihan projek kerajaan pusat di negeri ini," katanya.
  
  Sebelum itu, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman (PAS - Chetok) mendedahkan masalah pengagihan baja subsidi padi belum lagi dapat diselesaikan di peringkat bawah, biar pun ketua pembangkang sudah berkali-kali berjanji mahu menyelesaikannya.
  
  Mustapa berkata, biar pun Kelantan ditadbir PAS, namun kerajaan BN tetap mengotakan janjinya bagi membina unversiti di negeri ini.
  Menurutnya, janji tersebut terkandung dalam manifesto BN Kelantan ketika pilihan raya umum lalu.
  
  Katanya, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan mengambil seramai 500 pelajar sulung pada Julai tahun depan dengan menyewa kampus sementara di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa.
  
  Beliau berkata, fasa pertama UMK sudah dilaksanakan di mana pejabat Naib Canselor menumpang sementara di Institut Perguruan Kota Bharu.
  
  "Kita belum lagi bercadang hendak mengadakan perjumpaan dengan kerajaan negeri membincangkan UMK memandangkan wakil-wakil rakyat BN pun belum lagi mendapat taklimat mengenainya," ujar beliau.
  
  Ketika itu, Mohd Zaki Ibrahim (PAS - Kelaboran) bangkit dan menanyakan Mustapa siapa pula yang mendapat projek bagi membina jambatan Sultan Yahya Kedua dan lebuh raya dari Kuala Krai - Kota Bharu di bawah peruntukan Pusat.
  
  Bagaimanapun Mustapa berkata, beliau tiada maklumat mengenainya dan tidak mahu mendedahkan takut disaman pemimpin lain.
  Adun terbabit kelihatan lebih tenang ketika berbahas berbanding ketua pembangkang.
  
  Ketika diusik lagi Abdul Halim supaya Pengerusi Perhubungan Umno ditukar bagi memantapkan lagi Umno Kelantan, Mustapa dengan spontan berkata, pemegang jawatan itu sekarang tidak boleh ditukar.
  
  
        Adun BN pertikai statistik dititah Sultan Kelantan              KOTA BHARU, 12 Nov  - Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan agak 'panas' seketika hari ini apabila anggota-anggota pembangkang enggan menerima statistik kemiskinan tegar yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri.  
  
  Tindakan mereka itu secara tidak langsung dianggap cuba mempertikaikan titah Sultan Kelantan ketika merasmikan persidangan itu Rabu lalu kerana baginda menyebut mengenai statistik tersebut.
  
  Anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Husam Musa menyifatkan wakil-wakil rakyat terbabit sebagai kurang beradat kerana mempertikaikan titah Sultan.
  
  "Sedangkan jumlah kemiskinan tegar isi rumah yang dikeluarkan EPU iaitu 3,550 orang adalah sama seperti yang dititah baginda pada perasmian persidangan sebelum ini.  
  
  "Saya peringatkan wakil-wakil rakyat lebih berhati-hati kerana perbuatan mempertikaikan statistik yang dititah baginda seperti merendah-rendah data yang dititah," katanya ketika menjawab soalan Dato' Mustapa Mohamed (BN - Air Lanas) pada persidangan Dun hari ini.
  
  Menurut Husam peratusan jumlah isi rumah miskin tegar di Kelantan ialah 10.6 peratus atau seramai 3,550 orang.

  Sedangkan bilangan isi rumah dalam kategori miskin tegar yang terbesar di negara ini iaitu Sabah (32,297 orang) diikuti Terengganu (8,300), Perak (5,730), Sarawak (5,243) dan Kedah (4,938).
  
  "Terengganu mendapat pendapatan daripada hasil minyak lebih RM1bilion dengan penduduk sekitar 600,000 orang pun masih mempunyai bilangan isi rumah yang miskin tegar lebih ramai berbanding Kelantan," ujarnya.
  
  Husam berkata, statistik yang dikeluarkan itu adalah milik agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dan bukannya Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen) Kelantan.
  
  Menurut beliau juga usaha berterusan dilakukan kerajaan negeri bagi mengurangkan jumlah miskin tegar termasuk memberi dividen sebanyak RM200 sebulan daripada program Pembangunan Ladang Rakyat.
  
  Katanya, sehingga kini seramai 2025 penduduk miskin mendapat manfaat daripada program tersebut, di mana mereka sehingga kini sudah dua kali menerima bantuan terbabit.
  
  Jumlah miskin tegar dikenalpasti di Kelantan antaranya terdiri daripada ibu-ibu tunggal dan warga emas yang tidak mampu melakukan kerja.
  
  Menyedari hakikat itu, kata Husam yang juga pengerusi Jawatankuasa
  Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, mulai tahun depan jumlah dana kepada ibu-ibu tunggal akan ditambah lagi.
  
  Selain itu ibu-ibu tunggal juga dicarumkan insurans berkelompok dengan Takaful yang pertama dilaksanakan di negara ini bagi meringankan bebanan mereka apabila berlaku sesuatu kemalangan.
  
  Beliau juga meminta wakil-wakil rakyat pembangkang usah mempertikaikan usaha dilakukan kerajaan negeri bagi mengurangkan jumlah kemiskinan tegar memandangkan Jabatan Pembangunan Persekutuan adalah 'lead agency' yang diberi tanggungjawab oleh kerajaan Pusat bagi tujuan itu.
  
  Tindakan pembangkang mempertikai statistik jumlah isi rumah yang miskin tegar diteruskan selepas persidangan Dun berhenti rehat di mana Ketua Pembangkang, Dato' Seri Annuar Musa cuba membawa usul tergempar bagi membincangkan perkara itu.
  
  Bagaimanapun Speaker Dun Kelantan, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah menolaknya kerana menganggap ia tidak perlu disegerakan.
  Tindakan Ketua Pembangkang mempertikaikan statistik jumlah isi rumah miskin tegar turut ditegur Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman (PAS - Chetok).
  
  "Saya meminta wakil-wakil rakyat BN menerima statistik yang disebut baginda Sultan mengenai jumlah isi rumah miskin tegar di Kelantan. Sebelum ini kita terkejut kerana ada pemimpin Umno yang hina Sultan dengan 'menabal' raja baru di Ketereh.
  
  "Peristiwa itu tidak boleh diterima oleh rakyat Kelantan sehingga sekarang," katanya.

  Usul tergempar kedua yang dibentang Mohd Adhan Kechik (BN - Bukit Bunga) mengenai memorandum penduduk di Wakaf Che Yeh berkaitan bayaran pengambilan balik tanah bagi pembangunan projek juga ditolak kerana ia dianggap tidak perlu disegerakan.
  
  Lagi pun kata Speaker kes tersebut kini sudah dirujuk kepada mahkamah.
  
  Slogan 'Kelantan Baru' kembalikan Fenomena Lama
  
  KOTA BHARU, 12 Nov.: Slogan 'Kelantan Baru' yang cuba digagas Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Seri Annuar Musa mahu mengembalikan negeri ini kepada fenomena lama.

Kalau sekarang, persembahan hiburan melampau disekat, premis hiburan dibatalkan, premis perjudian diharam, mungkinkah akan bertukar kepada situasi lama dalam gagasan Kelantan Baru yang ditaja Umno.

Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman (PAS - Chetok) mempersoalkan apa yang dimaksudkan 'Kelantan Baru' seperti disebut Pengerusi Perhubungan Umno dalam wawancara khas di RTM 1 malam tadi.

"Saya pun menonton rancangan itu kira-kira setengah jam namun tidak faham konsep Kelantan Baru yang dibawa pemimpin terbabit," katanya ketika membahas titah ucapan menjunjung kasih pada persidangan Dun hari ini.

Ekoran itu, Dato' Mustapa Mohamed (BN - Air Lanas) bangun mencelah, adakah YB Chetok minat kepada tokoh berkenaan.

Lalu dijawab Abdul Halim dalam Islam kita digalak untuk melihat setiap perkara yang berlaku bagi dinilai kembali kesan baik dan buruknya.

Beliau juga melahirkan rasa hairan mengapa pula pembangkang di Dun Kelantan yang ditemuramah RTM bagi mendapat penjelasan mengenai program pembangunan di Kelantan sekarang.

"Sepatutnya yang ditemuramah adalah pemimpin kerajaan negeri dan bukannya pembangkang. Ini bukan demokrasi namanya, ini bukan keadilan namanya.

"Tetapi dalam ucapannya ketika berbahas pada Khamis lalu langsung tidak nampak apa-apa cadangan menarik daripada Ketua Pembangkang bagi meningkatkan lagi pembangunan Kelantan.

"Ucapan itu ternyata kosong, zero dan tidak ada apa-apa. Soal agama langsung tidak disentuh. Begitu juga kalau sebelum ini Ketua Pembangkang berjanji mahu menyelesaikan masalah baja subsidi, tetapi di bawah lain pula jadinya," ujarnya.

Ucapan Adun terbabit berjaya menggamatkan Dewan apabila ucapan secara berterus terang itu mengena batang hidung pemimpin Umno, biar pun cuba diganggu pembangkang.

Beberapa Adun pembangkang dan kerajaan yang cuba mencelah juga diberi peluang, kemudian dijawab Abdul Halim secara bersahaja.

Sebelum ini pada persidangan Khamis lalu, Drs Zainuddin Awang Hamat (PAS - Limbongan) meminta wakil-wakil rakyat BN mengambil perhatian lebih serius mengenai isu murtad dan membawa usul itu pada persidangan Agung Umno yang akan berlangsung mulai esok.

Katanya, setiap pemimpin perlu mengambil tanggungjawab tersebut kerana isu murtad adalah masalah serius yang dibendung segera.

Beliau juga mencadangkan kerajaan negeri mewujudkan 'rumah ihsan' bagi menempatkan belia dan beliawanis yang bermasalah untuk mendapat khidmat kaunseling, nasihat dan peluang dalam bidang kerjaya.

  Kemiskinan lebih parah di lima negeri berbanding Kelantan
  
  KUALA LUMPUR, 12 Nov  - Tuduhan yang dilemparkan oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Annuar Musa dalam sidang Dewan Undangan Negeri itu dan dalam siaran langsung di TV1 kononnya Kelantan adalah negeri yang termiskin di negara ini terbukti liar dan tidak berasas.

  Ketika menjawab pelbagai tuduhan yang dilemparkan, Exco Kerajaan Negeri, Dato' Husam Musa menyatakan bahawa bilangan isi rumah di dalam kategori miskin tegar di Perak, Kedah, Terengganu, Sabah dan Sarawak ternyata lebih besar dari negeri Kelantan.
  
  Menurut beliau, angka yang mendedahkan perkara itu terkandung dalam kertas Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri yang ditaklimatkan kepada negeri-negeri, di bawah tajuk ‘Program Pembasmian Kemiskinan RMK 9’.
  
  Menjelaskan lebih lanjut perkara itu dalam blognya, Husam menyenaraikan lima negeri yang mempunyai bilangan isi rumah dalam kategori miskin tegar yang lebih dari Kelantan.
  
  Bilangan isi rumah dalam kategori miskin tegar yang terbesar ialah di Sabah (32,297) diikuti Terengganu (8,300), Perak (5,730), Sarawak (5,243) dan Kedah (4,938).
  
  Kelantan mempunyai 3,550 isi rumah dalam kategori miskin tegar.
  
  "Perhatikan, Terengganu, dengan kekayaan minyak yang demikian besar dan dengan jumlah penduduk yang kecil, mempunyai bilangan isi rumah miskin tegar yang lebih tinggi dari negeri-negeri lain," kata Husam.
  
  Mengikut kertas EPU itu, katanya, peratus kemiskinan Terengganu ialah 15.4 peratus berbanding Kelantan 10.6%.
  
  "Angka rasmi ini, memberikan gambaran yang berbeza dari apa yang diberikan oleh Pengerusi Umno Kelantan dalam siaran langsung di TV1 malam semalam (10 November)," katanya.
  
  Dalam perkembangan lain, Husam menyifatkan keprihatinan Sultan Perak dalam isu murtad sebagai membanggakan.
  
  "Langkah Sultan Perak memanggil Menteri Besar baginda dan Ketua Polis Negara mengadap atas isu ini, harus menyedarkan Perdana Menteri dan juak-juaknya bahawa, dalam isu ini, dan isu yang lain juga, banyak tindakan responsif dan pro aktif boleh diambil dan dengan itu, keamanan negara kita terpelihara," katanya.
  
  Langkah Sultan Perak itu, katanya, mesti menjadi teladan pemimpin-pemimpin kerajaan.
  
  "Tidakkah mereka merasa malu atas perlahannya tindak balas mereka dalam isu ini?" soal Husam yang menyifatkan tindakbalas kerajaan dalam isu murtad amat lembab.

Menurut beliau, isu murtad amat sensitif dan mungkin mencetuskan keadaan yang merbahaya dan kerajaan sepatutnya bertindak cepat dan responsif dalam isu tersebut.
  
  Kerajaan juga, seharusnya tampil dengan kenyataan yang meyakinkan untuk menyekat pihak menjalankan kegiatan memurtadkan orang Islam, selaras dengan kehendak Perlembagaan Negara.
  
  Dalam isu bilangan yang telah murtad yang besar jumlahnya, penjelasan segera harus diberi dan pihak-pihak berkenaan semestinya segera dipanggil untuk dirundingi atau sekurang-kurangnya, mendapatkan penjelasan, katanya lagi.
  
  "Malangnya, semua peringkat kerajaan lembab selembab-lembabnya dan amat tidak meyakinkan," kata beliau.
  
  Mengulas insiden yang berlaku di Ipoh baru-baru ini, Husam berkata, orang ramai tidak boleh disalahkan kerana isu tersebut memang sifatnya sensitif.
  Malah, katanya, kepekaan orang ramai, dilihat dari satu sudut, adalah menggambarkan kepekaan mereka untuk melihat agama mereka terjaga.
  
  "Siapa yang memulakan SMS itu, boleh diuruskan oleh polis. Tetapi mengapa kerajaan seakan membiarkan isu ini membara, masih menimbulkan kesangsian saya. Jika kerajaan bertindak pantas, tidak ada pihak boleh mensensasikannya," katanya.
  
  Mengaitkan apa yang berlaku itu dengan psikologi takut, beliau berkata, Presiden Amerika Syarikat George W Bush, Perdana Menteri Australia John Howard dan dan Perdana Menteri Britain Tony Blair, masing-masing telah menggunakan psikologi takut sepenuhnya dalam perang propaganda mereka.
  
  "Di Malaysia, perkauman dan sensitiviti agama selalu meletakkan Umno dan Barisan Nasional dalam kedudukan lebih mudah untuk meminggirkan parti-parti lain.
  
  "Kerana itukah kerajaan lembab (dalam menangani isu seperti isu murtad)? Atau sememangnya kerajaan sekarang mengalami sindrom tindak balas yang perlahan dan tidak menentu?" Husam mempersoalkan.
  
  Kompleks baru kerajaan di Bandar Baru Tunjung
  
  KOTA BHARU, 12 Nov - Bandar Baru Tunjung yang sedang dibangunkan sekarang bakal menempatkan beberapa pejabat pentadbiran kerajaan Persekutuan dan negeri.
  
  Antaranya kompleks Jabatan-Jabatan Persekutuan, kompleks Mahkamah Tinggi, kompleks Mahkamah Syariah, Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu, Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Imigresen.
  
  Terminal Makanan Negara yang dikendalikan di bawah Fama membabitkan kawasan seluas 52 ekar akan dimulakan kerja-kerja pembinaan melalui peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, tahun depan.
  
  Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato' Husam Musa berkata, pembangunan bandar baru Tunjung bagi parcel pertama kini sedang rancak dijalankan.
  
  "Parcel pertama yang dijalankan sekarang melibatkan kawasan seluas 30 ekar sedang dimajukan sebuah syarikat," katanya ketika menjawab soalan Haji Buni Amin Hamzah (PAS - Salor) pada persidangan Dun hari ini.
  
  Kompenan fasa pertama pula bakal mengandungi kompleks masjid, terminal pengangkutan, kompleks mahkamah, pasar, bazar, ruang perniagaan, pejabat dan kediaman bercampur. Bandar Baru Tunjung diurus di bawah Perbadanan Menteri Besar Kelantan.
  
  Husam juga berkata, projek pembangunan Lembah Sireh akan dijalankan tidak lama lagi selepas kerja-kerja menambun pasir dan membina dinding di tebing sungai hampir siap dijalankan.
  
  Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Takiyuddin Hassan pula berkata, Perbadanan Muzium Negeri sedang mengkaji bagi mewartakan Tangga Bradley di Kuala Krai dan Wakaf Tuan Parrel di Pasir Puteh sebagai tempat bersejarah.
  
  Menjawab soalan Haji Mohd Shukri Abdul Rahman (PAS - Kadok) katanya, tempat-tempat bersejarah yang sudah diwartakan sebelum ini antaranya, bangunan Muzium Negeri, Istana Jahar dan Bank Kerapu.
  
  Selain itu, Jambatan Gantung Sultan Ismail Petra di Kuala Krai, tapak stesen kereta api di Kota Bharu, Tambatan Diraja, Masjid Kampung Laut, tapak perahu ufti di Kampung Tikat dan makam Tok Janggut.

Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com

Bookmark with:

Delicious   Digg   reddit   Facebook   StumbleUpon

opensubscriber is not affiliated with the authors of this message nor responsible for its content.